Cabaran Pendidikan Masa Kini

Pasti ramai di antara kita masih ingat lagi bagaimana kita dan rakan-rakan sebaya tidak perlu berlumba-lumba ketika memulakan sesi persekolah dalam Tahun (Darjah) 1. Boleh dikatakan hampir semua daripada kita masih belum mengenal huruf. Setiap kanak-kanak berada pada tahap dan kemampuan yang hampir sama.

Kini, zaman telah berubah. Kanak-kanak yang tidak boleh membaca pasti akan ketinggalan. Dari satu segi, perkembangan ini amat sihat sekali kerana ibu bapa mula menyedari akan kepentingan pendidikan yang sebenarnya bermula jauh lebih awal, bukan ketika memasuki Tahun 1. Pun begitu, tidak bermakna pendidikan akademik sahaja yang perlu dititik beratkan. Perkara inilah yang jarang-jarang sekali kita, iaitu ibu bapa di Malaysia ikuti.

Bemula tahun 1992, iaitu ketika pertama kali saya membabitkan diri dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah tahun 2008 ini di mana saya membuka tadika sendiri, saya berpeluang bertemu dengan ramai ibu bapa yang mempunyai matlamat dan objektif yang berbeza. Ada yang masih mahukan pendekatan pendidikan yang sama seperti di zaman-zaman lampau, yakni yang pernah dipraktikkan dahulu. Ada juga yang mahukan pembaharuan.

Terus-terang saya katakan, adalah mustahil untuk mengikuti atau melayani setiap permintaan. Syukur Alhamdulillah, di Malaysia malah di Kuantan ini masih banyak tadika dan taska yang menggunakan sistem pendidikan tradisi, iaitu ke sekolah untuk belajar, belajar dan belajar! Sekurang-kurangnya masih ada alternatif bagi ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka berada di dalam persekitaran seperti itu.

Di SFK pula, kami mahu lari dari sistem yang sebegitu. Setelah berpeluang berada di dalam beberapa persekitaran pendidikan yang berbeza selama beberapa tahun, saya mengambil keputusan untuk keluar dari kepompong tradisi tersebut. Saya tidak mengatakan sistem tradisi tidak bagus, cuma kurang menyeronokkan.

Di SFK, kami masih menitikberatkan prestasi akademik anak-anak. Pun begitu pada masa yang sama, jadual kami tidak terlalu ketat dan berat sehingga menimbulkan rasa bosan dan rasa putus asa kepada anak-anak. Di luar waktu belajar, anak-anak bebas melakukan aktiviti masing-masing. Adakala sekiranya mahu, mereka boleh memilih sama ada mahu duduk di kerusi/meja atau di bawah.

Kami juga tidak memaksa anak-anak untuk belajar. Kami memujuk sedaya yang boleh. Kerana itulah, kami tidak mengharapkan kesempurnaan daripada mereka, tetapi cukup dengan perkembangan dan prestasi mereka. Ini adalah kerana ramai daripada mereka tidak pernah bersekolah sebelum ini dan tidak pernah didedahkan kepada pendidikan awal (akademik). Jadi, kasihan bagi anak-anak ini jika terus dipaksa belajar tanpa sebarang persediaan awal terutamanya dari segi emosi.

Di sepanjang penglibatan saya dalam bidang pendidikan, saya ada bertemu ibu bapa yang cukup bimbang dengan prestasi akademik anak-anak mereka. Mereka bimbang kerana anak-anak mereka masih belum boleh membaca. Malah, ada yang mahu anak-anak mereka boleh membaca dengan lancar hanya selepas beberapa bulan. Kerana merasakan anak-anak mereka ketinggalan, mereka memberi tekanan bukan sahaja kepada anak-anak, malah juga para guru. Ada di antara anak-anak mereka yang baru mencecah usia 4 dan 5 tahun.

Saya tidak salahkan mereka kerana sebagai ibu bapa, mereka berhak mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Pun begitu, prestasi anak-anak banyak bergantung kepada keadaan. Sebagai contoh, adakah anak-anak pernah didedahkan kepada pembelajaran awal sebelum ini, begitu juga tahap konsentrasi yang sememangnya berbeza bagi setiap kanak-kanak. Selain itu, adakah anak-anak dilatih untuk mengulangkaji di rumah?

Terdapat banyak kes di SFK di mana anak-anak tidak dapat membaca dengan baik selama beberapa bulan, kini berjaya membaca dengan lancar sekali. Kebanyakan daripada mereka berusaha mengulangkaji bacaan di rumah dan ini banyak membantu.

Saya tidak bermaksud membandingkan anak-anak di SFK. Pada kami, setiap anak di SFK adalah istimewa. Kami berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik. Ada anak-anak yang memerlukan sesi tambahan, jadi kami peruntukkan sesi bacaan tambahan untuk mereka, terutamanya anak-anak berusia 6 tahun yang bakal menduduki Tahun 1 tidak lama lagi.

Pun begitu, kami tetap berpegang kepada salah satu objektif kami iaitu kami mahu mempertingkatkan prestasi mereka dari semasa ke semasa, bukan mencari kesempurnaan mereka –  improvement, not perfection. Sungguhpun seseorang anak itu hanya mula membaca buku 2 (Bacalah Anakku) selepas beberapa bulan sekali pun, itu adalah kemenangan yang amat besar baginya. Sekalung tahniah harus diberikan kepadanya atas peningkatan tersebut.

Mudah-mudahan kita sebagai ibu bapa memahami situasi ini. Terus beri galakkan kepada anak-anak dan sentiasa bersabar kerana sesungguhnya setiap anak adalah berbeza. Namun apa yang pasti, setiap seorang daripada mereka adalah istimewa.

SFK sentiasa mengalu-alukan sesi perjumpaan bagi membincangkan prestasi anak-anak tuan/puan. Sila hubungi kami dari semasa ke semasa agar perkembangan terbaik dapat dicapai.

Sekian, terima kasih & Wassalam.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: